24.12.12

Leka Dalam Kepalsuan


Setiap manusia yang beriman perlu muhasabah dan tilik diri masing-masing, apa yang telah kita buat selama ini?.. Berapa banyak dosa dan salah silap kita kepada Allah..Bagaimana pula dengan hati manusia lain yang telah terluka kerana mulut kita.. Masa kita yang telah terbuang pada perkara yang tidak berguna...

Kehidupan yang Tuhan berikan sangat sedikit dan sekejap cuma, bukan beribu tahun pun bahkan puluhan tahun sahaja. Dalam keadaan macam ni pun kita masih sombong dengan Allah Tuhan yang mencipta Alam semesta dan yang mentadbir kita semua. Padahal kita akan jumpa jugak dengan Allah suatu masa nanti, setiap amalan kita direkod untuk dipaparkan di hari akhirat kelak, dan masa itu pasti akan tiba..  masihkah kita tidak takut?

Setiap perintah Allah kita buat main-main, kita rasa takpe Allah kan Maha Pengampun. Sedangkan kita tak tahu pun yang Allah sedang marah dengan perbuatan kita. Selama ni kita telah sibuk dengan dunia, sibuk dengan mencari rezeki halal kononnya hinggakan tertinggal solat berjemaah, terlupa nak bayar zakat. Kita sibuk dengan perkara yang kita akan tinggalkan, itulah dunia... Dunia ini kita akan tinggalkan, suatu masa nanti pasti akan sampai, masa kesedihan, masa kematian...

Dunia sedang menipu saya, dunia sedang menipu anda... ia menyebabkan kita semua cinta terhadap harta, kekuasaan, pangkat dan kedudukan. Manusia saling bergaduh kerananya, semua orang berlumba-lumba mengejar dunia tak kira tua muda, sibuk membuat tempat tinggal untuk kehidupan yang sekejap cuma.

Manusia diumpakan seperti seorang yang berlayar di lautan, ingin menuju ke sebuah negara yang agak jauh, lantas kita singgah di sebuah pulau dengan maksud untuk mencari bekalan. Lalu turunlah semua anak-anak kapal mencari bekal untuk perjalanan yang jauh memandangkan bekalan tidak cukup. Ada di antara mereka mencari buah-buahan untuk makanan, ada yang memburu haiwan, ada yang menyimpan air bersih. Ada juga yang kurang cerdik iaitu mereka yang sibuk mengumpul batu-batu karang, menangkap rama-rama.. kata mereka ianya cantik dan sedap dipandang. Hingga tibalah masanya ketua kapal memanggil mereka kembali, samada mahu atau tidak mereka perlu naik semula ke kapal, kerana pulau itu bukanlah tempat tuju mereka yang sebenar. Maka naiklah mereka itu ke dalam kapal bersama "bekalan" mereka menuju ke destinasi sebenar.

Begitulah kita, seorang pelayar yang cuma singgah sebentar untuk mencari bekal demi kehidupan selepas mati yang abadi, malanglah bagi mereka yang mengumpul perkara-perkara yang langsung tak bermanfaat walaupun ia cantik dipandang tetapi ia tidak berguna. Kerana di atas kapal mereka perlukan makanan dan minuman untuk terus hidup, maka alangkah rugi dan bodoh mereka yang mengumpul benda yang tidak mengenyangkan tambahan lagi beban yang agak berat untuk dipikul... maka dengan alasan cantik dan sedap dipandang, kita terus dikaburi.. Ya, Dunia masih menipu kita.. dan kita tertipu kerana kita tidak pandai memilih yang mana palsu dan yang mana tidak..