7.4.13

Eratnya mereka..

Saya sekeluarga telah berpindah di Kampung Pusu Tiga, Gong Badak, Terengganu. Ya, kami telah berpindah ke rumah sewa, suasana yang baru, kawan baru, rumah yang baru semestinya lah kan. Semasa di losong dahulu, suasana perkampungan agak jauh bezanya, di losong mereka tinggal dalam kampung warisan dan turun-temurun tapi di sini mereka ada yang datang dari jauh, ada yang berhijrah.. dan mereka menikmati hari-hari pencen mereka.

Suasana di surau agak "berlainan". Surau dipenuhi dengan masyarakat luar negara yang rata-rata adalah penuntut Bachelor, Master dan Phd di Universiti Malaysia Terengganu. Ada di kalangan mereka daripada Sudan, Nigeria, Oman, Pakistan, Yaman, Syria dan lain-lain. Saya sangat teruja melihat gelagat mereka yang sangat ramah dan mesra, bukan sahaja sesama mereka, malah sesama masyarakat setempat sekalipun. Hampir setiap waktu solat, mereka akan bertemu dan bertanya khabar antara satu dengan yang lain seolah-olah mereka seperti sudah lama tidak berjumpa.

Bagi kaum melayu di sini tidak kurang hebatnya juga, selepas subuh, asar dan isyak.. para jemaah akan bersalaman tanda mengeratkan silatur rahim antara mereka. Budaya ini sangat baik untuk dihidupkan, terutamanya bagi orang-orang muda. Bila orang muda bersahabat dan rapat dengan orang-orang yang telah berumur, maka mereka akan cepat matang dan dewasa. Bergaullah dan bertanya khabarlah dengan orang di sekeliling anda...anda tak rugi sikit pun. Sekian.

24.12.12

Leka Dalam Kepalsuan


Setiap manusia yang beriman perlu muhasabah dan tilik diri masing-masing, apa yang telah kita buat selama ini?.. Berapa banyak dosa dan salah silap kita kepada Allah..Bagaimana pula dengan hati manusia lain yang telah terluka kerana mulut kita.. Masa kita yang telah terbuang pada perkara yang tidak berguna...

Kehidupan yang Tuhan berikan sangat sedikit dan sekejap cuma, bukan beribu tahun pun bahkan puluhan tahun sahaja. Dalam keadaan macam ni pun kita masih sombong dengan Allah Tuhan yang mencipta Alam semesta dan yang mentadbir kita semua. Padahal kita akan jumpa jugak dengan Allah suatu masa nanti, setiap amalan kita direkod untuk dipaparkan di hari akhirat kelak, dan masa itu pasti akan tiba..  masihkah kita tidak takut?

Setiap perintah Allah kita buat main-main, kita rasa takpe Allah kan Maha Pengampun. Sedangkan kita tak tahu pun yang Allah sedang marah dengan perbuatan kita. Selama ni kita telah sibuk dengan dunia, sibuk dengan mencari rezeki halal kononnya hinggakan tertinggal solat berjemaah, terlupa nak bayar zakat. Kita sibuk dengan perkara yang kita akan tinggalkan, itulah dunia... Dunia ini kita akan tinggalkan, suatu masa nanti pasti akan sampai, masa kesedihan, masa kematian...

Dunia sedang menipu saya, dunia sedang menipu anda... ia menyebabkan kita semua cinta terhadap harta, kekuasaan, pangkat dan kedudukan. Manusia saling bergaduh kerananya, semua orang berlumba-lumba mengejar dunia tak kira tua muda, sibuk membuat tempat tinggal untuk kehidupan yang sekejap cuma.

Manusia diumpakan seperti seorang yang berlayar di lautan, ingin menuju ke sebuah negara yang agak jauh, lantas kita singgah di sebuah pulau dengan maksud untuk mencari bekalan. Lalu turunlah semua anak-anak kapal mencari bekal untuk perjalanan yang jauh memandangkan bekalan tidak cukup. Ada di antara mereka mencari buah-buahan untuk makanan, ada yang memburu haiwan, ada yang menyimpan air bersih. Ada juga yang kurang cerdik iaitu mereka yang sibuk mengumpul batu-batu karang, menangkap rama-rama.. kata mereka ianya cantik dan sedap dipandang. Hingga tibalah masanya ketua kapal memanggil mereka kembali, samada mahu atau tidak mereka perlu naik semula ke kapal, kerana pulau itu bukanlah tempat tuju mereka yang sebenar. Maka naiklah mereka itu ke dalam kapal bersama "bekalan" mereka menuju ke destinasi sebenar.

Begitulah kita, seorang pelayar yang cuma singgah sebentar untuk mencari bekal demi kehidupan selepas mati yang abadi, malanglah bagi mereka yang mengumpul perkara-perkara yang langsung tak bermanfaat walaupun ia cantik dipandang tetapi ia tidak berguna. Kerana di atas kapal mereka perlukan makanan dan minuman untuk terus hidup, maka alangkah rugi dan bodoh mereka yang mengumpul benda yang tidak mengenyangkan tambahan lagi beban yang agak berat untuk dipikul... maka dengan alasan cantik dan sedap dipandang, kita terus dikaburi.. Ya, Dunia masih menipu kita.. dan kita tertipu kerana kita tidak pandai memilih yang mana palsu dan yang mana tidak..

8.10.12

13 perkara untuk wanita





1. Bulu kening

Menurut Imam Bukhari, Rasullulah melaknat perempuan yang mencukur atau menipiskan bulu kening atau meminta supaya dicukurkan bulu kening – Petikan dari Hadis Riwayat Abu Daud Fi Fathil Bari.


 2. Kaki (tumit kaki)

 Dan janganlah mereka (perempuan) membentakkan kaki (atau mengangkatnya) agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan – Petikan dari Surah An-Nur Ayat 31.

Keterangan : Menampakkan kaki dan menghayunkan/ melenggokkan badan mengikut hentakan kaki terutamanya pada mereka yang mengikatnya dengan loceng…sama juga seperti pelacur dizaman jahiliyah


3. Wangian 

Siapa sahaja wanita yang memakai wangi-wangian kemudian melewati suatu kaum supaya mereka itu mencium baunya, maka wanita itu telah dianggap melakukan zina dan tiap-tiap mata ada zinanya terutamanya hidung yang berserombong kapal kata orang sekarang hidong belang – Petikan dari Hadis Riwayat Nasaii, Ibn Khuzaimah dan Hibban.


 4. Dada

Hendaklah mereka (perempuan) melabuhkan kain tudung hingga menutupi bahagian hadapan dada-dada mereka – Petikan dari Surah An-Nur Ayat 31.


5. Gigi

Rasullulah melaknat perempuan yang mengikir gigi atau meminta supaya dikikirkan giginya – Petikan dari Hadis Riwayat At-Thabrani, Dilaknat perempuan yang menjarangkan giginya supaya menjadi cantik, yang merubah ciptaan Allah – Petikan dari Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim.


6. Muka dan leher

Dan tinggallah kamu (perempuan) di rumah kamu dan janganlah kamu menampakkan perhiasan mu seperti orang jahilliah yang dahulu.

Keterangan : Bersolek (make-up) dan menurut Maqatil sengaja membiarkan ikatan tudung yang menampakkan leher seperti orang Jahilliyah.


7. Muka dan Tangan

Asma Binti Abu Bakar telah menemui Rasullulah dengan memakai pakaian yang nipis. Sabda Rasullulah: Wahai Asma! Sesungguhnya seorang gadis yang telah berhaid tidak boleh baginya menzahirkan anggota badan kecuali pergelangan tangan dan wajah saja – Petikan dari Hadis Riwayat Muslim dan Bukhari.


8. Tangan

Sesungguhnya kepala yang ditusuk dengan besi itu lebih baik daripada menyentuh kaum yang bukan sejenis yang tidak halal baginya – Petikan dari Hadis Riwayat At Tabrani dan Baihaqi.


9. Mata

Dan katakanlah kepada perempuan mukmin hendaklah mereka menundukkan sebahagian dari pemandangannya – Petikan dari Surah An Nur Ayat 31.

Sabda Nabi Muhamad SAW, Jangan sampai pandangan yang satu mengikuti pandangan lainnya. Kamu hanya boleh pandangan yang pertama sahaja manakala pandangan seterusnya tidak dibenarkan hukumnya haram – Petikan dari Hadis Riwayat Ahmad, Abu Daud dan Tirmidzi.


10. Mulut (suara)

Janganlah perempuan-perempuan itu terlalu lunak dalam berbicara sehingga berkeinginan orang yang ada perasaan serong dalam hatinya, tetapi ucapkanlah perkataan-perkataan yang baik – Petikan dari Surah Al Ahzab Ayat 32.

Sabda SAW, Sesungguhnya akan ada umat ku yang minum arak yang mereka namakan dengan yang lain, iaitu kepala mereka dilalaikan oleh bunyi-bunyian (muzik) dan penyanyi perempuan, maka Allah akan tenggelamkan mereka itu dalam bumi – Petikan dari Hadis Riwayat Ibn Majah.



11. Kemaluan 

Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan mukmin, hendaklah mereka menundukkan pandangan mereka dan menjaga kehormatan mereka – Petikan dari Surah An Nur Ayat 31.

Apabila seorang perempuan itu solat lima waktu, puasa di bulan Ramadan, menjaga kehormatannya dan mentaati suaminya, maka masuklah ia ke dalam Syurga daripada pintu-pintu yang ia kehendakinya – Hadis Riwayat Riwayat Al Bazzar. Tiada seorang perempuan pun yang membuka pakaiannya bukan di rumah suaminya, melainkan dia telah membinasakan tabir antaranya dengan Allah – Petikan dari Hadis Riwayat Tirmidzi, Abu Daud dan Ibn Majah.


12. Pakaian

Barangsiapa memakai pakaian yang berlebih-lebihan terutama yang menjolok mata , maka Allah akan memberikan pakaian kehinaan di hari akhirat nanti – Petikan dari Hadis Riwayat Ahmad, Abu D , An Nasaii dan Ibn Majah. 

Petikan dari Surah Al Ahzab Ayat 59. Bermaksud : Hai nabi-nabi katakanlah kepada isteri-isterimu, anak perempuanmu dan isteri-isteri orang mukmin, hendaklah mereka memakai baju jilbab (baju labuh dan longgar) yang demikian itu supaya mereka mudah diken ali .

Lantaran itu mereka tidak diganggu. Allah maha pengampun lagi maha penyayang. Sesungguhnya sebilangan ahli Neraka ialah perempuan-perempuan yang berpakaian tetapi telanjang yang condong pada maksiat dan menarik orang lain untuk melakukan maksiat. Mereka tidak akan masuk Syurga dan tidak akan mencium baunya – Petikan dari Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim. Keterangan : Wanita yang berpakaian tipis/jarang, ketat/ membentuk dan berbelah/membuka bahagian-bahagian tertentu.


13. Rambut

Wahai anakku Fatimah! Adapun perempuan-perempuan yang akan digantung rambutnya hingga mendidih otaknya dalam Neraka adalah mereka itu di dunia tidak mahu menutup rambutnya daripada dilihat oleh lelaki yang bukan mahramnya – Petikan dari Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim.

27.8.12

Anjakan Paradigma

Memukul bulu tangkis ini akan menjadi faktor anda ke hospital, harap maklum

Untuk yang kesepuluh tahun kalinya, hamba ini memegang raket badminton, dan meluru masuk ke gelanggang badminton untuk beraksi bersama rakan-rakan. Ini semua berlaku gara-gara adik iparku yang pandai memujuk dan memberi semangat kepadaku. Kerana aku yang berkaki komputer yang tabiatnya lepak kat dalam rumah je sejak bertahun-tahun lamanya.

Maka berlakulah kejadian yang tidak diingini pada keesokan harinya, AKU SAKIT BADAN.

Setelah sedikit kajian dan analisis dibuat, maka aku telah mendapati bahawasanya ini berpunca daripada tidak memanaskan badan sebelum bermain, mungkin kerana terlalu excited kot.

Jadi ringkasnya., aku perlulah memanaskan badan terlebih dahulu sebelum bersukan untuk mengelakkan kejadian yang sama berulang.

Kemudian timbullah satu persoalan, perlukah aku melakukan aktiviti seperti dibawah ini di dalam dewan badminton di khalayak ramai. Oh menyeramkan... mari memanaskan badan



Apa yang aku nak cerita kat sini adalah aku ni bukan jenis minat bersukan, tetapi aku perlu bersukan kerana;

1. Duduk terperap di dalam rumah agak merbahaya
2. Doktor cakap lagi banyak peluh keluar, lagi sihat tubuh badan.
3. Bersosial dan mengeratkan silaturahim bersama sahabat-sahabat

Oleh itu, aku mengambil tindakan yang agak drastik untuk mengubah cara hidupku. Yang aku ingat aku main badminton adalah sewaktu sekolah menengah dulu.

PERUBAHAN BERMULA DARI DALAM DIRIMU...

Sekian jumpa lagi.

26.8.12

Berfikirlah di luar kotak

Semasa aku di dalam kuliah, seorang pensyarah sedang memberi penerangan dengan bersungguh-sungguh kepada para pelajarnya: "Di dalam sistem pengurusan, setiap tindakan yang dibuat mestilah berkesan dan cekap, malah...".Belum habis pensyarah memberi penerangan tiba-tiba salah seorang pelajar lelaki mencelah dengan selambe, "Oh, maknanya kedua-dua ciri ini mesti ada  dalam pengurusan kan?". Pelajar-pelajar lain di dalam kelas tersebut semua kebingungan, ada yang geleng kepala, ada yang cakap "soalan bodoh macam tu pun nak tanya ke?. Dah tahu bertanya pula...aduhai. Jadi kesudahannya masing-masing tak puas hati dengan sahabat yang kecoh tersebut hinggakan ada yang melepaskan geram dengan mengigit-gigit kuku mereka malah ada juga yang mengorek hidung. Huff..

                                             
                                               ***********************************



Tolonglah jangan buat muka b*d*h macam nii!


Peristiwa berikut mungkin pernah berlaku kepada diri anda, terutamanya apabila berada di dalam situasi majlis ceramah dan syarahan ataupun di dalam kelas. Dalam bilangan 30 orang peserta, mungkin ada sorang dua yang kurang bijak atau bengap sedikit. Bila cikgu bercakap maka dia menyampuk, suka buat bising je memanjang, seolah-olah dia dengan cikgu je kat dalam kelas. Sabar..sabar..

Manusia yang mempunyai sifat sedemikian selalunya kurang atau cetek ilmu dan adab dalam pergaulan. Plus+ dia juga tidak tahu bila masa sesuai untuk mencelah percakapan orang lain, dia juga tidak tahu bila masa untuk mendengar dan bila masa untuk bercakap dan bertanya.

Sebagai manusia yang waras lagi beriman kepada Allah s.w.t, kita diperintahkan untuk jadi bijak, iaitu berfikir untuk kesejahteraan orang lain. Oleh sebab itu Allah memuji orang-orang yang berfikir di dalam Al-Quranul Karim

;-----


 قُل لاَّ يَسْتَوِي الْخَبِيثُ وَالطَّيِّبُ وَلَوْ أَعْجَبَكَ كَثْرَةُ الْخَبِيثِ فَاتَّقُواْ اللّهَ يَا أُوْلِي الأَلْبَابِ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

 Katakanlah (wahai Muhammad): "Tidak sama yang buruk dengan yang baik, walaupun kebanyakkan perkara yang buruk itu membuatkan hatimu tertarik. Oleh itu bertaqwalah kepada Allah wahai orang-orang yang berakal fikiran, supaya kamu berjaya.

 الَّذِينَ يَسْتَمِعُونَ الْقَوْلَ فَيَتَّبِعُونَ أَحْسَنَهُ أُوْلَئِكَ الَّذِينَ هَدَاهُمُ اللَّهُ وَأُوْلَئِكَ هُمْ أُوْلُوا الْأَلْبَابِ 

" Yang berusaha mendengar perkataan-perkataan yang sampai kepadanya lalu mereka memilih dan menurut akan yang sebaik-baiknya (pada segi hukum ugama); mereka itulah orang-orang yang diberi hidayah petunjuk oleh Allah dan mereka itulah orang-orang yang berakal sempurna

-----Benarlah firman Allah Yang Maha Agung ----


Bukan mudah untuk menjadi manusia yang digelar Ulul Albab iaitu AHLI FIKIR. Itulah manusia yang otaknya sentiasa berfikir dengan keadaan sekililingnya.

Sebagai contoh, Ahmad melihat seekor kambing yang sedang memakan rumput yang hijau. Bisik Ahmad di dalam hatinya: " Oh, besarnya kambing tu, kalau sembelih ni mesti banyak daging, boleh masak gulai kambing lepas tu boleh jual semangkuk RM7, boleh buat duit nii..hehe ".

Seorang lagi bernama Basyir, beliau melihat seekor kambing lantas merenung panjang, Bisik Basyir didalam hatinya "Oh, cantiknya kambing ni, reka bentuknya, hebat betul kuasa Allah Yang Maha Esa menjadikan haiwan ini dengan sempurna sifatnya, bahkan manusia boleh ambil manfaat darinya. Kambing ni kalau disembelih boleh bagi makan orang ramai kat surau, boleh buat pahala".

Situasi kedua-duanya agak berbeza yang pertama tu berfikir di dalam kotak, iaitu berfikir sehala sahaja. Yang sorang lagi memang Ahli Fikir, dia senantiasa merenung akan kebesaran Allah. Malah dia juga sentiasa mencari jalan untuk menghasilkan pahala. Ini adalah manusia yang bijak. ULUL ALBAB....

Di antara ciri ULUL ALBAB adalah :-

1. Bersemangat dan konsisten di dalam mencari Ilmu Pengetahuan.
2. Sentiasa Berfikir dan Merenung
3. Berpegang dan beramal dengan kebaikan
4. Teliti dalam menerima sumber atau maklumat
5. Mengambil pengajaran daripada sejarah silam
6. Bangun malam dan beribadat
7. Hanya Takut kepada Allah

Kesimpulannya, apabila kita hanya berfikir di dalam kotak biasa, maka kita akan hidup sama seperti yang tidak beriman kepada Allah s.w.t, hidup dengan satu hala. Oleh itu, insan yang hebat dan mempunyai adab tahap yang tertinggi adalah yang menggunakan akal fikirannya untuk berfikir dengan waras.. Jadi marilah menjadi Ulul Albab, kerana Ulul Albab adalah mereka-mereka yang berfikir di luar kotak, maka hasil buah fikiran mereka adalah luar biasa dan menakjubkan...

Sekian..