26.8.11

Perlukah al-Fatihah antara dua doa?



Dengan nama tuhan yang maha berkuasa keatas semua makhluk, saya mulakan kata bicara ini yang akan membongkar segala apa yang telah diamalkan masyarakat Melayu Islam sejak turun temurun.
Membaca surah Al-fatihah diantara dua doa, adakah ianya amalan yang pernah dilakukan oleh Nabi Muhammad s.a.w?

Kita sedia maklum bahawa apa sahaja perbuatan yang kita mahu jadikan ia sebagai amalan harian kita, maka ianya haruslah bersebab dan berdalil, sebagaimana anda yang berpantang dalam memakan makanan yang manis maka anda mempunyai sebab iaitu kerana anda menghidap penyakit kencing manis. Apatah lagi dalam amalan Agama kita yang suci ini, maka ia berhajat kepada Al-quran dan Hadis, bukannya sekadar ikut mengikut sahaja.

Berkenaan dengan membaca surah Al-fatihah antara dua doa ini maka ianya tiada didalam Hadith ataupun Al-Quran, mungkin ianya sekadar amalan Ulama'terdahulu, kerana Surah itu sendiri adalah doa, maka tidaklah salah untuk kita amalkan, cuma haruslah kita tahu bahawa ia bukanlah amalan Rasulullah s.a.w, supaya anak cucu kita tidak salah sangka bahawa amalan ayah dan atuknya ini sebenarnya bukanlah wajib.

Apa yang jelasnya adalah membaca al-Fatihah diantara dua do'a tidak terdapat dalil mengenai kesahihan dan kaifiatnya. Malah, amalan membaca al-Fatihah selepas berdo'a pun tiada nas. Menurut Fatwa al-Lajnah al-Daaimah :-

لم يثبت عن النبي صلى الله عليه وسلم أنه كان يقرأ الفاتحة بعد الدعاء فيما نعلم
"Tidak kaitan dari Nabi s.a.w mengenai membaca al-Fatihah selepas do'a dari apa yang kami tahu"

Didalam hadith yang di riwayatkan oleh al-Tirmudzi dan Abu Daud, bahawa ada seorang lelaki yang berdo'a dan tidak mengakhirinya dengan berselawat keatas Nabi, Nabi saw mengatakan : Apabila seseorang berdo'a hendaklah di memulakan do'a dan mengucap bertahmid (al-hamdulillah), kemudian (pada akhirnya) dia berselawat keatas Nabi saw.

Telah tercatat didalam Ensiklopedia Feqah Kuwait bahawa seseorang itu selepas selesai berdo'a, maka hendaklah membaca :

وَآخِرُ دَعْوَاهُمْ أَنِ الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ
"Dan akhir doa mereka ialah segala puji dipersembahkan kepada Allah yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam! " [Surah Yunus : 10]

Semoga kita sama-sama ambil manfaat,
Wallahu a'lam..

1.8.11

Karkun Sombong?


Ada individu yang pada permulaan hidupnya dalam keadaan jahil agama dan bergelumang didalam dosa kemudian bertaubat dan mula mengenal Islam, diantara mereka ada yang mempunyai sifat rasa hebat,alim, sempurna dan telah menjadi ahli syurga. Sifat ini amatlah merbahaya dan akan merosakkan diri  individu tersebut jika tidak dicegah. Apa yang saya telah lihat, ada sebahagian diantara karkun-karkun(para pendakwah bebas) yang memiliki sifat seperti ini, iaitu berlagak sombong terhadap orang kampung, dengan terlalu memandang rendah mereka yang belum berdakwah, sehinggakan setiap majlis yang dibuat oleh penduduk kampung tidak pernah disertainya tanpa apa-apa makluman atau sebab. Dan dalam masa yang sama, karkun ini menasihati mereka supaya berbuat baik dan tinggalkan perkara munkar. Bayangkan betapa keliru dan marahnya masyarakat tersebut terhadapnya.

Sepatutnya sebagai seorang da'i (pendakwah), para karkun semua hendaklah turun padang bersama orang kampung, dengar luahan hati mereka, ianya tidak salah selagi mana tatatertib Agama dijaga, Malahan, ini diantara Mansha (kehendak) Orang Alim/ Orang Lama dalam Dakwah, bahawa kita kena "terjun" dalam ummat.

Apa salahnya korbankan sedikit masa, harta dan diri untuk orang kampung,  terlalu banyak faedahnya. InsyaAllah, hubungan diantara karkun dan orang kampung akan bertambah erat, bak kata Syeik Qamaruddin (fikirman Bangla): Semua pendakwah hendaklah menbentuk diri mereka menjadi seperti Bunga kepada kampung, yang mana masyarakat akan suka pada bau dan rupa bunga tersebut.

Tuan-tuan, oleh yang demikian akhlak dan pergaulan amatlah penting dalam kehidupan kita, bercakap banyak pun tiada gunanya kalau akhlak dah teruk, untuk apa kita sombong dan berlagak dengan orang kampung, apa faedahnya?. Bahkan mereka akan bertambah benci dan meluat dengan kita, Alangkah baiknya, bila ada ustaz mengajar di masjid kita duduk bersama, bila mereka buat tahlil kita ada bersama. Cuba kita kaji semula apa yang Rasulullah s.a.w buat terhadap orang kafir yang belum islam, Baginda telah tunjukkan akhlak dan sifat yang mulia terlebih dahulu sebelum mengajak mereka kepada agama.

Taburlah budi kita sebanyak yang mungkin selagi kita masih bernyawa, bagaimana masyarakat akan menghargai kita sedangkan kita tidak pernah menghargai mereka?. Dakwah bukan sahaja dengan bercakap, bayan, takrir, mutakallim dan sebagainya. Ini yang ramai karkun tak faham iaitu dakwah hanya di masjid dan ketika keluar bertabligh sahaja. Tuan-tuan, bekerja dengan bagus dan jujur dalam masa yang sama mengembirakan sahabat dan majikan juga adalah dakwah, khidmat ibubapa adalah dakwah, hinggakan tunjukkan akhlak yang baik dengan sesiapa sahaja adalah dakwah, dengan syarat matlamat kita adalah untuk tingkatkan agama di pejabat,rumah dan kampung kita.

Saya kongsikan kisah dibawah ini. Bagaimana Baginda Rasulullah s.a.w berdakwah dengan akhlak, Semoga anda semua dapat ambil manfaat bersama.

...........

Masih ingatkah anda dengan kisah seorang pengemis buta yang pernah hidup di penjuru pasar Madinah pada zaman Rasulullah s.a.w? Dia selalu berkata setiap hari kepada setiap orang yang mendekatinya, “Wahai saudaraku, jangan dekati Muhammad, dia itu orang gila, dia itu pembohong, dia itu tukang sihir, apabila kamu  mendekatinya maka kamu akan dipengaruhinya.”

Namun, pada setiap pagi, Rasulullah s.a.w. mendatanginya dengan membawakan makanan dan tanpa berucap sepatah kata pun. Rasulullah menyuapkan makanan yang dibawanya kepada pengemis itu, sedangkan pengemis itu tidak mengetahui bahawa yang menyuapinya adalah Rasulullah s.a.w. Baginda melakukan hal ini setiap hari hingga baginda wafat.

Setelah wafatnya Rasulullah Saw., tidak ada lagi orang yang membawakan makanan setiap pagi kepada pengemis yahudi yang buta itu. Suatu hari sahabat terdekat Rasulullah Saw., yakni Abu Bakar r.a. berkunjung ke rumah anaknya, Aisyah r.a., yang tidak lain tidak bukan merupakan isteri Rasulullah Saw. dan beliau bertanya kepada anaknya itu, “Anakku, masih adakah pekerjaan Rasulullah s.a.w  yang biasa baginda lakukan yang belum aku kerjakan?” Aisyah r.a menjawab, “Wahai ayah, Engkau adalah seorang ahli sunah dan hampir tidak ada satu kebiasaannya pun yang belum ayah lakukan kecuali satu saja, “Apakah itu?” Tanya Abu Bakar r.a. “Setiap pagi Rasulullah selalu pergi ke hujung pasar dengan membawakan makanan untuk seorang pengemis yahudi buta yang ada di sana,” kata Aisyah r.a. Keesokan harinya AbuBakar r.a. pergi ke pasar dengan membawa makanan untuk diberikan kepada pengemis tersebut. Abu Bakar r.a mendatangi pengemis itu, lalu memberikan makanan kepadanya.

Ketika Abu Bakar r.a. mulai menyuapinya, pengemis tersebut marah sambil menghardik, “Siapa Kamu?” Abu Bakar r.a. menjawab, “Aku orang yang biasa mendatangimu.” “Bukan! Engkau bukan orang yang biasa mendatangiku,” bantah si pengemis buta itu. “Orang yang datang kepadaku itu, tidak susah tangan ini memegang dan tidak susah mulut in mengunyah. Orang yang biasa mendatangiku selalu menyuapiku, tapi terlebih dahulu dihaluskannya makanan tersebut, setelah itu ia berikan kepadaku,” Lanjut pengemis itu.

Abu Bakar r.a. tidak mampu lagi menahan air matanya, lalu beliau pun menangis sambil berkata kepada pengemis itu, “Aku memang bukanlah orang yang biasa mendatangimu. Aku adalah salah seorang sahabatnya. Orang yang mulia itu telahpun tiada. Ia adalah Muhammad, Rasulullah s.a.w.”

Seketika itu, pengemis itupun menangis mendengar penjelasan Abu Bakar r.a. dan berkata, “Benarkah begitu? Selama ini aku selalu menghinanya, memfitnahnya, dan dia tidak pernah memarahiku sedikitpun, dia mendatangiku dengan membawakan makanan setiap pagi, dia begitu mulia..” Pengemis itupun akhirnya mengucap kalimah syahadah dihadapan Abu Bakar r.a. saat itu juga dan sejak hari itu ia menjadi muslim.

Setiap manusia pasti pernah membuat kesilapan, apa yang penting adalah berubah kepada yang lebih baik... Berdakwahlah dengan AKHLAK, kerana ia amatlah berkesan..