.......
.........
Entri kali ini penulis yang serba daif ini ingin mengupas sedikit isu mengenai MULUT.
Mulut adalah anugerah daripada Allah s.w.t yang diberikan kepada manusia, sepatutnya kita amat bersyukur kerana mempunyai mulut yang boleh kita gunakannya untuk makan minum, bercakap, ketawa dan sebagainya. Bersyukur dengan ucapan Alhamdulillah tidak memadai, Alim Ulama' kita memesan salah satu bentuk syukur yang sangat perlu adalah kita menggunakan nikmat itu pada jalan yang baik dan diredhai oleh Allah s.w.t.
Untuk pengetahuan pembaca, Baginda Rasulullah s.a.w pernah memberitahu kita supaya berhati-hati dengan mulut (lidah), kerana disebabkannya ramai orang dicampak kedalam neraka. Apa yang keluar dari lidah mestilah berpunca dari hati, kalau hati seorang insan itu bersih, nescaya kata-katanya akan jadi suci dan bersih, tetapi kalau sebaliknya, maka akan terkeluarlah kata-kata berunsur mengumpat, memfitnah, melaga-lagakan orang dan sebagainya.Oleh itu penulis berpesan kepada semua pembaca agar berhati-hatilah dalam bertutur kata. Apatah lagi kalau kita merupakan pemimpin atau orang yang berpengaruh, kerana sekeras mana pun hati manusia, pasti akan kalah jua dengan ketajaman kata-kata.
Dikalangan masyarakat Melayu, ramai yang bersifat suka mengata ataupun dalam bahasa moden "GOSIP".
Perkara ini telah berlarutan turun temurun, bahkan ada yang menjadikannya sebagai aktiviti harian keluarga ataupun masyarakat. Sambil menghirup teh dipetang hari bersama indahnya dapat bercerita mengenai keburukan orang itu,keburukan orang ini..
Inilah faktor utama mengapa Kaum Melayu seringkali berpecah belah. Alangkah cantiknya kalau kita saling bersangka baik, berterus terang, apa yang tidak jelas,tanyalah tuan empunya badan, kerana mungkin apa yang kita lihat dan dengar itu salah, bukannya berbual sana sini, kemudian yakin atas sangkaan, sedangkan itu semuanya tidak benar, bahkan yang lebih teruk, mengkucar-kacirkan masalah sehingga menjadikan ia semakin rumit.
Sabda Baginda s.a.w : “Penyakit umat sebelum kamu telah menular kepada kamu; iaitu hasad dengki dan permusuhan. Permusuhan tersebut ialah pengikis atau pencukur, Saya tidak maksudkan ia mencukur rambut, tetapi (yang saya maksudkan) ialah ia mengikis agama.”
(Hadith riwayat Al-Baihaqi)
Rasulullah Sallallahu’alaihi Wasallam bersabda lagi:
“Bencana melepaskan dua ekor serigala lapar di dalam kandang kambing tidak lebih besar daripada bencana yang menimpa pegangan agama seorang Muslim yang tamak terhadap harta dunia dan hasad dengki. Sesungguhnya sifat hasad memamah segala kebaikan seperti api menjilat kayu kering.”
(Hadith riwayat Al-Tirmizi)
Oleh kerana itu Allah s.w.t telah memerintahkan Nabi dan umatnya supaya berlindung dari bencana golongan pendengki. Allah Subhanahu Wata’ala berfirman:
“Katakanlah: ‘Aku berlindung kepada Tuhan Yang Menguasai Subuh, dan kejahatan makhluknya dan dari kejahatan malam apabila telah gelap gelita, dan dari kejahatan wanita-wanita tukang sihir yang menghembus pada buhul-buhul, dan dan kejahatan orang yang dengki apabila ia dengki. ” (Surah Al-Falaq: Ayat 1-5)
Rasulullah sendiri melarang sifat hasad dengki dan saling dengki mendengki. Beliau melarang sifat benci dan saling menimbulkan kebencian. Beliau juga melarang sifat saling membesar diri dan bermasam muka antara satu sama lain.
Baginda bersabda yang bermaksud:
“Berhati-hatilah kamu daripada sifat prasangka. Sesungguhnya prasangka itu adalah kata-kata yang paling dusta. Jangan saling olok-mengolok, intai-mengintai, atas-mengatasi, dengki mendengki, benci-membenci dan jebak menjebak. Jadilah kalian sebagai hamba-hamba Allah yang bersaudara seperti yang telah diperintahkan kepada kalian. Seorang Muslim itu adalah saudara bagi seorang Muslim yang lain. Janganlah ia menzalimi saudaranya; janganlah ia membiarkannya (apabila ia dizalimi); janganlah ia menghina saudaranya. Taqwa itu (letaknya) di sini, seraya baginda menunjuk ke dadanya. Cukuplah bagi seorang Muslim itu kejahatan (dosa) menghina saudaranya yang Mukmin haram bagi seseorang Muslim itu (menceroboh) darah (nyawa) nama baik dan harta seseorang Muslim yang lain.” (Hadith riwayat Malek, Bukhari, Muslim, Abu Daud dan Tarmizi)
Sebenarnya orang-orang yang dengkikan kelebihan, kebolehan dan ilmu yang dianugerahkan oleh Allah s.w.t kepada orang lain apatah lagi kepada kaum keluarganya mempunyai jiwa yang berpenyakit, hati yang kotor dan berkarat. Mereka sanggup membuat tipu-daya terhadap saudara mereka sendiri demi melepaskan kemarahan dan nafsu yang meluap dalam dada mereka. Sikap inilah yang telah mendorong Qabil membunuh saudara kandungnya sendiri iaitu Habil. Perasaan dengki, angkuh, marah dan dendam yang meluap-luap inilah yang mendorong berlakunya kejahatan tersebut, malah ada juga yang bergembira apabila melihat saudara mereka itu terseksa.Ya Allah anugerahkanlah hidayat dan taufik kepada Ummat Akhir Zaman ini. Amin Ya Rabbal Alamin.
Berlindunglah kita kepada Allah s.w.t dari sifat tersebut...Nauzubillahi Min Zalik..

Comments